Bagaimana Keluar Dari Zon Gagal?
Lama betul bercuti bersalin, sampai tak sempat nak pos apa-apa di blog ini. Memang betul saya bersalin, tetapi bukannya bercuti dan tidur sahaja. Sebenarnya ada projek lain yang telah lama di rancang. Projek baru ini memerlukan saya fokus dengan apa yang saya lakukan. Alhamdulilah, saya telah berjaya melahirkan satu lagi website yang telah menghasilkan jualan walaupun saya belum lagi membuat pelancarannya. Website ini adalah online store yang menjual 925 Sterling Silver Jewelry iaitu www.JewelrySilverWorld.com. Ia adalah hasil usaha saya dengan sokongan dan tunjuk ajar yang cukup dedikasi oleh Sifu saya, SaifulSham. Saya amat berterima kasih kepada mereka terutama Sabri. Walaupun dia agar kelakar orangnya, tetapi cukup serius tentang bisnes. Saya betul-betul bangga kerana dia adalah pelajar UTP (tumpang glamour sebab saya pun alumni UTP jugak)
Sebelum ini saya banyak menulis di blog sahaja kerana selain blog ini, saya juga aktif menulis di blog mengenai cancer, http://www.killcancercell.com/cancerstory. Blog itu telah lama di wujudkan sejak saya mula mengenali dunia perniagaan di internet. Tetapi kerana sebelum ini saya mempunyai masalah untuk fokus dengan sesuatu projek, website ini dan beberapa website lain tidak menghasilkan banyak pendapatan. Jadi sempena bercuti bersalin, saya merangka satu projek besar dan betul-betul menumpukan seluruh perhatian sampai saya dapat capai target pertama. Semuanya bermula dengan satu soalan yang saya tukar bentuk soalannya.
Masa mula-mula gagal dengan beberapa projek sebelum ini, saya selalu bertanya pada diri sendiri soalan ini.
“Kenapa aku gagal sedangkan ramai yang telah berjaya?”
Rupa-rupanya soalan ini salah menyebabkan saya hanya fokus kepada kegagalan itu sendiri. Soalan ‘Kenapa’ juga tidak banyak membantu saya untuk keluar daripada zon kegagalan itu. Saya memang serius untuk berjaya dalam bidang ini, maka saya teringat teknik yang telah saya belajar dalam NLP iaitu dipanggil ‘Reframing’.
Tujuan ‘Reframing’ teknik ini digunakan adalah membantu kita menghadapi cabaran dan pengalaman dalam hidup dengan perspektif yang berbeza. Cara kita melihat sesuatu perkara yang berlaku dalam hidup amat penting kerana ia akan membentuk satu kepercayaan dalam diri dan pemikiran. Ia juga membantu membuka lebih pilihan untuk bertindak.
Ia bagaikan sebuah bingkai gambar. Anda cuma dapat melihat gambar yang terdapat di dalam bingkai. Apa yang dapat dilihat itu yang akan membentuk pemikiran dan apa yang dipercayai. Ingat! Apa yang anda lihat di dalam bingkai itu tidak semestinya betul. Anda mungkin hanya melihat sebahagian sahaja daripada keseluruhan gambar. Tetapi ia telah membentuk kepercayaan tentang apa yang anda lihat. Kerana itu saya telah menukar cara saya bertanya kepada diri sendiri.
“Apa yang saya boleh belajar daripada apa yang berlaku?”
Setelah soalan ini di tanya berkali-kali pada diri sendiri, akhirnya saya menemui jawapan. Saya telah berjaya menukarkan pengalaman saya, yang dipanggil kegagalan dengan nama baru iaitu feedback. Teknik ‘Reframing’ ini membantu saya bangkit semula dengan melihat masalah lama melalui perspektif yang berbeza dan menghadapi cabaran lama dengan cara yang berbeza. Semuanya hanya dengan menggunakan teknik yang mudah tetapi sangat hebat.
No comments yet.